sukan

Solari pertahan pemain JDT

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mempertahankan anak buahnya selepas mereka hanya menyumbat dua gol pada aksi Liga Super menentang Kelantan United Football Club (KUFC), malam tadi.

Sebelum perlawanan, skuad Harimau Selatan dijangka berpesta gol menentang tuan rumah yang berada di kedudukan ketiga tercorot liga namun mereka hanya mampu menjaringkan dua gol, itu pun pada hujung perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.

Solari bagaimanapun menyatakan anak buahnya keletihan kerana mengharungi banyak perlawanan dan perjalanan yang panjang bagi perlawanan peringkat antarabangsa termasuk baru pulang daripada perlawanan menentang Ulsan Hyundai pada aksi ketiga kumpulan Liga-Liga Juara Asia (ACL) di Stadium Bolasepak Munsu, Korea Selatan, Selasa lalu.

“Namun ini bukan alasan, kami cuba jaga mental dan fizikal pemain kerana dalam sebulan kita harung banyak perlawanan dan perjalanan, tetapi pemain tetap menunjukkan kesediaan mereka, memberi persembahan yang bagus dan kami dapat keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas perlawanan.

Solari berkata, pemain yang mengalami kecederaan seperti Diogo Santo turut membantu pasukan walaupun mengalami kecederaan hampir dua bulan.

Ujar beliau, tiada pasukan lawan dipandang rendah kerana setiap perlawanan dianggap sebagai ‘final’ dan pasukan perlu menang.

“Hari ini (malam tadi) kita sudah memberikan yang terbaik, banyak cipta peluang, saya bangga dengan mereka (pemain),” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih KUFC, Ailton Dos Santos Silva berkata, meskipun turun tanpa beberapa tonggak akibat kecederaan namun dia bangga dengan persembahan Kijang Hijau.

Katanya, pemainnya menunjukkan permainan yang sangat baik sehingga minit ke-74 sebelum gawang dibolosi dengan jaringan Fernando Forestieri dan Bergson da Silva.

“Mereka profesional, semua dapat bermain dengan baik walaupun ada empat, lima pemain kami tak dapat diturunkan akibat cedera, saya sudah melakukan persiapan untuk hadapi JDT, dan gembira dengan persembahan pemain.

sumber:- BH

“Fokus kami kini menentang Kuching City FC dalam Piala Cabaran kerana bermain pada waktu petang, Kota Bharu agak panas, saya perlu periksa keadaan pemain tetapi buat masa ini biarkan pemain rehat sebelum sambung latihan pada Selasa,” katanya.