sukan

Peluang TFC berpesta di piala AFC

Selepas gagal mencetak gol dalam dua aksi terdahulu, penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut mahu mengukir namanya dalam senarai penjaring bagi kancah Piala AFC pula.

Pemain kelahiran Croatia itu menyedari pertemuan dengan kelab tangga tercorot dari Filipina, Stallion Laguna FC petang esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin memberinya peluang untuk merealisasikan impian itu.

Mamut mengakui dia belum puas jika tidak berjaya menjaringkan gol di peringkat Asia selepas berjaya melakukannya dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Tegas pemain berusia 26 tahun itu, satu gol ketika berdepan Kuala Lumpur City pada separuh akhir pertama Piala Malaysia Sabtu lalu menyemarakkan lagi semangatnya bagi memastikan tiga mata berada dalam genggaman pasukannya sekali gus mengintai peluang untuk mendahului Kumpulan G.

Ketika ini mereka menghuni tangga kedua di belakang Bali United namun hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan selepas masing-masing mengumpul empat mata.

“Pertama sekali sudah pasti saya mahu peragakan aksi terbaik seperti perlawanan terdahulu bagi memastikan kami mengutip tiga mata.

“Kedua saya mahu menjaringkan gol pertama dalam saingan Piala AFC ini selepas percubaan dalam dua perlawanan terdahulu ketika menentang kelab Australia, Central Coast Mariners dan kelab Indonesia, Bali United berakhir dengan kehampaan.

“Ketiga saya juga menuntut rakan sepasukan sedaya upaya beraksi mengikut perancangan jurulatih lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri dan pada masa sama mengharapkan lebih ramai peminat hadir biarpun beraksi pada sebelah petang,” kata pemain tinggi lampai yang menyarung jersi nombor 7.

sumber:- BH

Mamut sudah mengumpul 18 gol bersama TFC termasuk 10 jaringan dalam Liga Super, enam Piala Malaysia dan dua Piala FA.