sukan

Cabaran yang perlu digalas bagi membimbing JDT ialah pemilik pasukan

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menganggap pertembungan menentang kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulam I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Bolasepak Munsu, petang esok begitu penting bagi memburu slot ke peringkat seterusnya.

Katanya, pada aksi musim lalu saingan amat berbeza kerana ia diadakan secara berpusat di Malaysia selepas kesan daripada COVID-19 namun kali ini cabaran buat JDT apabila perlu bertandang ke gelanggang lawan dan sekali lagi berdepan skuad kendalian Hong Myung-bo di laman sendiri.

“Saya difahamkan pasukan Ulsan membawa masuk beberapa pemain muka baharu dalam skuad itu dan pastinya mereka akan tampil dengan corak permainan berbeza dan untuk itu, bagi saingan ACL kami membuat persiapan sejak 10 bulan lalu, termasuk aksi menentang kelab dari Korea Selatan.

“Apapun, kami bersedia untuk berdepan Ulsan dengan membuat persiapan yang serius secara psikologi dan fizikal dan pemain juga tampak tidak berdepan masalah untuk beraksi selain kekuatan mental amat penting bagi perlawanan esok.

“Tidak dinafikan juga pasukan Ulsan dibarisi pemain yang berkualiti dan ia bakal menjanjikan aksi berintensiti tinggi malah ia peluang terbaik buat kami beraksi dengan kualiti permainan yang baik bagi mengimbangi kekuatan pasukan lawan,” katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga tidak menafikan faktor cuaca sekitar 17 darjah selsius agak menjejaskan persiapan tapi apa jua situasi perlu ditempuhi dan bersedia menghadapi risiko malah mereka tiba awal bagi menyesuaikan keadaan cuaca dan keadaan padang di Korea.

Katanya, beberapa pemain yang bersama skuad kebangsaan bagi aksi Pestabola Merdeka perlu menjalani proses pemulihan dan semuanya berjalan lancar malah pemain juga mahu buktikan sesuatu terutama beraksi di pentas Asia.

Selain itu katanya, antara cabaran yang perlu digalas bagi membimbing JDT ialah pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan sahaja mahu JDT hebat di saingan liga tempatan sebaliknya turut menyerlah di peringkat antarabangsa.

Skuad Harimau Selatan kini berada di tangga kedua Kumpulan I selepas mengutip tiga mata apabila menang 4-2 ke atas BG Pathum United dari Thailand pada aksi 3 Oktober lalu dan tewas tipis 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada 19 September.

sumber:- BH

“ACL adalah medan terbaik untuk pamer kualiti dan kami optimis akan turun menentang Ulsan dengan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti. Malah kami akan berusaha membawa pulang keputusan yang positif,” katanya.