sukan

Keputusan pilih Shukor Adan tepat

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dianggap membuat keputusan tepat apabila memilih Shukor Adan sebagai penolong ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Ia susulan ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Nenad Bacina menaruh keyakinan bahawa Shukor yang juga pembantu jurulatih pasukan City Boys mampu menyumbang impak positif buat Harimau Malaya B-23.

Malah, Bacina turut menyifatkan Shukor memiliki masa depan yang cerah dalam bidang kejurulatihan berdasarkan karakter yang ditunjukkan bekas pemain kebangsaan itu.

“Saya gembira dengan Shukor dan saya sangat bangga kerana apabila dia menyertai barisan kejurulatihan kami tahun lalu, saya bekerja rapat dengan dia sebagai pembantu ketua jurulatih.

“Sejak dari awal lagi dia sudah dapat perhatian daripada saya. Dia sentiasa mahu belajar dan mempunyai karakter yang bagus sebagai jurulatih yang mana perkara itu sangat penting.

“Saya boleh jangkakan bahawa dia memiliki masa depan yang cerah sebagai jurulatih dan saya berasa dia mampu menyumbang sesuatu kepada skuad B-23 Malaysia,” katanya.

FAM pada 12 Oktober lalu mengumumkan pelantikan Shukor sebagai penolong kepada ketua jurulatih baharu skuad B-23, Juan Torres Garrido.

Shukor, 44, bagaimanapun hanya secara rasmi akan memegang jawatan penolong ketua jurulatih B-23 negara selepas kontraknya sebagai penolong jurulatih pasukan Liga Super, KL City berakhir.

sumber:- BH

Selain Shukor, Garrido turut akan dibantu Kris Yong Wai Hwang sebagai jurulatih penjaga gol, Oscar Balaguer Cabeza dari Sepanyol sebagai jurulatih kecergasan serta Lee Jeyoon dari Korea Selatan selaku jurulatih analisis prestasi.