sukan

Zii Jia mara ke Separuh Akhir Terbuka Denmark

Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark BWF apabila mengatasi jaguh Jepun, Kenta Nishimoto, di Arena Jyske Bank, Odense awal pagi tadi.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Finland minggu lalu, pemain berusia 25 tahun berkenaan mempamerkan aksi meyakinkan, di mana dia tidak pernah ketinggalan sejak memungut mata pertama sebelum mencatatkan kemenangan 21-18 dalam set pertama.

Tentangan lebih sengit diberikan Nishimoto dalam set kedua tetapi sebaik mengikat kedudukan 14-14, Zii Jia tidak lagi menoleh ke belakang untuk mencatatkan kemenangan juga dengan keputusan 21-18 selepas secara keseluruhan bertarung selama 51 minit.
Dia seterusnya akan berdepan wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, bagi penentuan ke final esok.