Terengganu FC meraih bekalan tipis apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Terengganu yang lebih banyak mengasak sejak awal permainan terpaksa menunggu hingga masa kecederaan babak pertama untuk berada di hadapan menerusi jaringan Ivan Mamut.
KL City yang turun tanpa kapten mereka, Paulo Josue cuba bangkit dengan melakukan beberapa gerakan namun tidak berjaya untuk memecahkan kebuntuan jaringan.
Pelawat mendapat peluang terbaik untuk menggandakan kelebihan pada minit ke-82, namun sepakan kurang kemas Syahmi Zamri di depan gawang berjaya diselamatkan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza.
Syahmi bagaimanapun menebus kecewaan itu apabila umpanannya pada minit ke-89 disudahkan dengan rembatan lencong Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim untuk skuad Penyu mendahului 2-0.
Namun, skuad City Boys berjaya merapatkan kedudukan selepas Tchetche Kipre menyudahkan sepakan penalti pada masa kecederaan, sekali gus memastikan Terengganu tidak membawa pulang bekalan lebih selesa.
sumber:- BH
Kedua-dua pasukan akan mengharungi aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 3 November ini.