sukan

Pemain Kedah B luah perasaan

“….Mungkin ini la dunia bola sepak sebenar di Malaysia, dan jangan pernah ‘expect’ tinggi pada ‘player’ kalau benda kecil ini tidak pandai mau jaga.”

Itu luahan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA) B, Muhammad Naqib Sharipuddin di sosial media miliknya yang memberi bayangan seolah pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu sedang berdepan tunggakan gaji.

Jelas Naqib, masalah tunggakan gaji babitkan skuad Kenari itu menyebabkan rakan sepasukannya kini menghadapi pelbagai masalah termasuk tidak mampu menyara keluarga.

“Bukan itu saja moral dan motivasi ‘player drop’ padahal ‘player’ tu hanya bergantung pada hasil kerjaya sebagai player kan?

“Mana kita tau mungkin dia datang dari keluarga yang susah. Bukan semua orang senang dan mak ayah boleh bagi duit belanja.

“Sedangkan ‘player’ itu berhasrat untuk kurangkan beban dalam keluarga apa semua.

“Sebenarnya kalau cakap semua ini pun majikan mana mau dengar, tapi sekadar mau berkongsi luahan daripada seorang yang hidup serba kekurangan,” katanya sekali gus membuka pekung bahawa KDA FC sememang kini sedang berdepan isu tunggakan gaji.

Difahamkan, pasukan itu tidak menerima gaji hampir dua bulan yang bakal memasuki bulan ketiga sekiranya isu terbabit masih gagal diselesaikan dalam masa terdekat ini.

Sumber turut mengesahkan dakwaan Naqib itu dan akui masalah tunggakan gaji turut babitkan skuad utama KDA FC yang beraksi dalam Liga Super.

“Betul apa yang dikatakan oleh pemain itu (Naqib). Dia main B-23 KDA dalam Piala MFL, dan tunggakan ini juga babitkan skuad senior,” kata sumber.

Sementara itu, usaha Arena Metro untuk mendapatkan pengurusan tertinggi KDA FC gagal apabila panggilan dan kiriman mesej di WhatsApp tidak dibalas.

Untuk rekod selain KDA FC, Arena Metro sebelum ini turut mendedahkan beberapa pasukan juga sedang berdepan masalah sama babitkan pasukan Negeri Sembilan FC.

sumber:- HM

Namun difahamkan, isu berkenaan bakal berakhir tidak lama lagi apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sedia menghulurkan bantuan untuk meringankan beban skuad Hobin Jang Hobin.