sukan

Enam pengadil Malaysia ke Arab Saudi

Enam pengadil muda negara akan berguru di Dammam, Arab Saudi bermula esok hingga 27 Oktober ini.

Mereka terdiri daripada empat pengadil iaitu Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman, Mohamad Kamil Zakaria Ismail, Muhammad Munir Mohd Izam serta dua penolong pengadil, Kesava Raj S Neelamagan dan Mohd Shafiq Ahmad Said.

Enam pengadil berkenaan juga akan menjalani kursus tambahan video bantuan pengadil (VAR) dan latihan praktikal di Arab Saudi.

Inisiatif berkenaan selari dengan misi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahukan lebih ramai pengadil berguru di luar negara.

“Semoga ilmu yang diperoleh di Arab Saudi ini dapat memberi manfaat dalam tugasan mereka terutama dalam memartabatkan lagi mutu pengadilan bola sepak negara,” kata Hamidin.

Hamidin sebelum ini berharap lebih ramai mengikut jejak langkah pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid yang akan ke Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM merangkap Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram turut menyokong usaha berkenaan dengan menyatakan FAM akan terus memastikan lebih ramai pengadil muda diberi latihan dan pendedahan di peringkat antarabangsa.

Pemilihan enam pengadil itu berdasarkan faktor prestasi dalam Liga Malaysia (Liga M) serta menunjukkan komitmen yang baik sepanjang latihan VAR di Malaysia sekali gus dilihat berpotensi melebarkan sayap ke persada lebih tinggi.

sumber:- BH

FAM juga ketika ini sedang rancak menjalankan latihan VAR bagi 40 pengadil sebagai persediaan menghadapi Liga M 2024/2025.