sukan

Aaron-Wooi Yik mara ke Separuh Akhir selepas tumbangkan jaguh China

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron-Wooi Yik, mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark BWF apabila mengatasi beregu China dalam aksi tiga set di Arena Jyske Bank, Odense awal pagi tadi.

Turun berdepan He Ji Ting-Ren Xiang Yu, gandingan negara itu menghadapi saingan luar biasa dalam set pertama, di mana kedua-dua beregu tidak dapat mendahului lebih daripada dua mata tetapi sebaik menyamakan kedudukan 22-22, Aaron dan Wooi Yik menamatkan set pembukaan itu selaku pememenang selepas memungut dua mata terakhir.

Aaron dan Wooi Yik kemudian berdepan kesukaran pada pertengahan set kedua dan biarpun berhasil mengikat kedudukan 11-11, mereka membenarkan lawan menguasai baki saingan untuk akur tewas 18-21, sekali gus terpaksa beraksi dalam set penentuan.

Bagaimanapun, wakil negara itu kembali mempamerkan dominasi penuh dalam set ketiga, sekali gus layak ke separuh akhir hasil kemenangan 21-12 selepas bertarung selama 64 minit.

sumber:- SA

Menanti mereka dalam penentuan ke final esok ialah beregu tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmusen, yang menewaskan gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, dalam satu lagi perlawanan suku akhir.