Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak wajar dipersalahkan atas isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak ketika penganjuran Pestabola Merdeka 2023, baru-baru ini.
Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun berpandangan ini kerana badan induk itu dianggap sebagai ‘pelanggan’ yang mahu menggunakan perkhidmatan di Stadium Nasional dan mereka bukanlah pemilik padang terbabit.
“FAM atau sesiapa sahaja boleh menggunakan SBNJ kerana untuk menggunakan SNBJ, mereka perlu membayar kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), jadi mereka adalah pelanggan.
“Dalam hal ini, pemilik padang iaitu PSM perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.Terdahulu pada aksi final Pestabola Merdeka 2023, Selasa lalu, padang Stadium Nasional hanya bertahan 30 saat sebelum rumputnya tercabut meskipun kelihatan cantik dari jauh.
Bagaimanapun, situasi pada aksi final antara Malaysia menentang Tajikistan ini boleh dianggap lebih baik sedikit dan tidaklah seteruk seperti aksi pertama antara Malaysia menentang India di venue sama, Jumaat lalu.
Di sebalik usaha keras PSM untuk memperbaiki padang namun langkah diambil tampaknya tidak mencukupi bagi memastikan padang berada dalam keadaan yang benar-benar terbaik hanya dalam tempoh tiga hari.
Sebagai rekod, kualiti padang di Stadium Nasional yang baru selesai dinaik taraf mendapat kritikan hebat daripada banyak pihak susulan rumput di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu tercabut di beberapa bahagian padang ketika aksi sulung Pestabola Merdeka 2023, Jumaat lalu.
sumber:- BH
Aksi membabitkan pertembungan Malaysia dan India itu adalah perlawanan pertama yang berlangsung di stadium itu selepas ia ditutup bagi kerja naik taraf.