sukan

‘Maaf’ Tiada Kejutan

Tiada kejutan dapat disaksikan selepas juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) selangkah ke final Piala Malaysia hasil kemenangan 4-1 ke atas Perak FC pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Esteban Solari membawa bekalan selesa menuju ke aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, 2 November ini.

Keputusan itu sekali gus membolehkan JDT melakar kemenangan hatrik ke atas skuad ‘The Bos Gaurus’ bagi musim ini selepas merakam kemenangan 5-0 dalam kedua-dua aksi Liga Super sebelum ini.

Pada aksi di Stadium Perak itu, JDT hanya memerlukan enam minit untuk merobek gawang Perak FC selepas hantaran lintang Heberty Fernandes ditanduk masuk Oscar Arribas.

Perak FC cuba membalas pada minit kesembilan namun tandukan Seo Seonung ditepis Ahmad Syihan Hazmi sebelum lambungan menakjubkan Arif Aiman Hanapi daripada sudut sukar membolehkan pelawat beroleh gol kedua tiga minit berselang.

Syihan sekali lagi cemerlang memastikan gawangnya kekal ‘bersih’ selepas menafikan peluang terbaik Perak FC mengurangkan defisit apabila menyelamatkan percubaan Luka Milunovic pada minit ke-28.

Meskipun jaringan Fernando Forestieri dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-64, JDT mendapat gol ketiga menerusi bekas pemainnya, Shahrul Saad yang menyudahkan hantaran Takahiro Kunimoto pada minit ke-71.

Gawang JDT akhirnya ‘bocor’ menerusi rembatan deras Luciano Guaycochea pada minit ke-75 namun JDT kembali berkelebihan tiga gol dengan jaringan Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-80.

sumber:- BH

Johor Darul Ta’zim (JDT) meraikan jaringan mereka ketika menewaskan Perak FC 4-1 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, sebentar tadi. Foto Johor Southern Tigers