sukan

‘hikmah’ kekalahan Malaysia

Kekalahan skuad Harimau Malaya di tangan Tajikistan pada final Pestabola Merdeka 2023 mungkin boleh dianggap ‘tepat’ pada masanya untuk barisan kejurulatihan diterajui Kim Pan Gon memperbetulkan kelemahan yang ada.

Jurulatih berpengalaman yang juga pemerhati bola sepak tempatan, Sulaiman Hussin berpendapat realiti yang dihadiahkan Tajikistan itu adalah isyarat yang menunjukkan bahawa skuad Harimau Malaya belum cukup mantap dan perlu bertambah baik menjelang Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 serta Piala Asia 2023.

Justeru, Sulaiman melihat kekalahan di tangan pasukan ranking ke-110 dunia itu sebahagian daripada proses untuk skuad negara menjadi bertambah baik dan bangkit dengan memperbaiki kekurangan yang dikenal pasti barisan kejurulatihan.

“Ini adalah persediaan kita untuk bersaing di peringkat lebih tinggi dan daripada perlawanan semalam, pertahanan kita terdedah dan pasukan lawan boleh mengambil kesempatan.

“Kita akan bertemu pasukan yang lebih dahsyat di Piala Asia nanti. Kita ingatkan kita sudah cukup kuat dengan keputusan memberangsangkan sebelum ini tetapi positifnya ia (kekalahan) berlaku awal dan tidak terjadi pada kejohanan sebenar.

“Pan Gon ada masa untuk betulkan. Kekalahan ini adalah satu jalan untuk menuju kemenangan kerana kita perlu jatuh seketika untuk kita bangkit lebih tinggi. Kita akui banyak perubahan dibawa Pan Gon tetapi kekalahan ini pasti memberi pengajaran kepadanya,” katanya.

Mengulas mengenai aksi semalam, Sulaiman melihat anak buah Pan Gon begitu tergesa-gesa untuk mendapatkan gol dan Tajikistan beraksi dengan efektif apabila bermain secara blok rendah dan menunggu peluang menerusi serangan balas pantas.

Malah, Sulaiman turut menggariskan kebimbangan mengenai kemampuan pemain gantian jika pemain utama seperti Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim tidak dapat diturunkan pada perlawanan akan datang.

“Kita kekurangan pemain tengah yang mampu mengawal tempo dan menjadi maestro. Jika menentang pasukan yang parkir bas, kita tidak boleh tergesa-gesa dan main dahulu untuk menarik mereka keluar, baru kita masuk.

“Tetapi kita tergesa-gesa untuk mendapatkan gol dan kita ada peluang cuma tidak dapat menjaringkan gol. Kita harap pemain dapat belajar sesuatu daripada perlawanan ini.

sumber:- BH

“Selain itu, kita lihat beberapa tonggak seperti Arif Aiman Faisal, mereka tiada pengganti dan kalau ada pun, jurangnya terlalu jauh jadi ini juga perkara yang harus dipertimbangkan barisan kejurulatihan,” katanya.