FAM beri peringatan kepada Pan Gon

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon jelas berjaya mentransformasikan skuad Harimau Malaya dengan peningkatan prestasi ditunjukkan hingga membolehkan Malaysia mendaki sehingga kedudukan ke-134 dunia.

Lonjakan ini sekali gus menyaksikan misi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghuni kelompok 120 terbaik dunia dan seterusnya berada dalam kedudukan ke-100 terbaik berada pada landasan yang tepat.

Namun Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tampaknya ‘bernafsu besar’ apabila mengingatkan Pan Gon serta barisan kejurulatihannya supaya tidak selesa dengan perkembangan positif yang ditunjukkan skuad bimbingannya ketika ini.

Malah, peringatan itu turut diberikan Hamidin bukan sahaja kepada skuad Harimau Malaya tetapi semua barisan kejurulatihan di bawah badan induk itu termasuklah skuad muda, pembangunan, bola sepak wanita dan juga futsal.

“Saya tekankan kepada semua bahawa kita tak boleh lagi berada pada tahap 30, 40 tahun yang lalu, sudah cukup dan saya mahukan perubahan dalam semua perkara.

“Ini memerlukan pengetahuan yang tinggi dan komitmen 100 peratus. Saya beri contoh macam Pan Gon, Pan Gon perlu lebih lagi kerana petunjuk prestasi utama (KPI) saya tinggi. Jadi semua yang duduk di tempat (jurulatih) tak boleh selesa.

“Orang kata Pan Gon sudah okay tetapi saya mahukan lebih lagi. (Semua jurulatih) tak boleh khayal dan kena lebih kuat,” kata Hamidin.

Dalam perkembangan lain, Hamidin percaya kombinasi pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) yang baharu, Juan Torres Garrido bersama Shukor Adan selaku pembantu mampu mengangkat mutu permainan skuad Harimau Muda ke tahap lebih baik.

“Pada ketika ini, dia (Garrido) sudah berada dalam sistem skuad B-23 yang layak ke Piala Asia B-23 2024 dan biarkan dia mengendalikan pasukan.

sumber:- BH

“Saya harap pasukan ini dapat mengikut jejak langkah pergi ke tahap lebih tinggi seperti skuad senior,” katanya.