Memang betul-betul pesta!
Itu gambaran yang yang boleh disimpulkan mengenai suasana di pekarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang aksi sulung Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India, malam ini.
Ribuan penyokong atau ‘Ekor Harimau Malaya’ sudah membanjiri pekarangan stadium itu bagi memberi sokongan padu kepada skuad kendalian Kim Pan Gon yang akan turun dengan misi wajib menang ke atas India.
Seperti biasa, paling mencuri tumpuan pastinya kehadiran kumpulan Ultras Malaya yang terlebih dahulu ‘beraksi’ di pekarangan stadium petang ini.
Ultras Malaya mencetuskan suasana lebih gamat di pekarangan stadium dengan nyanyian dan bersorak walaupun perlawanan hanya akan bermula jam 9 malam ini.
Penyokong Harimau Malaya, Khairul Ahmad Zubir mengakui teruja untuk hadir ke stadium bagi menyaksikan saingan Pestabola Merdeka selepas kali terakhir dianjurkan 10 tahun lalu di Kuantan, Pahang.
Khairul berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan Pestabola Merdeka terutama membabitkan aksi pasukan Harimau Malaya yang kini berada pada prestasi terbaik.
Katanya, keadaan Stadium Nasional yang baru dinaik taraf juga menambahkan lagi semangat penyokong untuk hadir ke stadium.
“Apa yang saya lihat sambutan daripada penyokong Harimau Malaya sangat menakjubkan. Saya sendiri pun tidak mahu terlepas untuk menyaksikan Pestabola Merdeka kali ini apabila ia dianjurkan semula selepas 10 tahun.
“Tambahan pula prestasi Harimau Malaya ketika ini sudah jauh meningkat dan stadium juga baru dinaik taraf dengan padang yang lebih berkualiti,” katanya.
Lebih 40,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional dengan sehingga jam 6 petang tadi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan sebanyak 43,645 tiket perlawanan itu sudah terjual.
sumber:- BH
Suasana di dalam stadium juga cukup meriah dengan lautan kuning hitam membanjiri sebahagian besar ruang tempat duduk penonton.