sukan

India mahu calar ‘pada baru Malaysia’

Pada ketika Malaysia kehilangan tonggak naturalisasi, Paulo Josue yang menghidap demam denggi, ­In­dia lawan yang bakal ditentang dalam saingan Pestabola Merdeka malam ini pula memberi ama­ran mahu memberi ‘kejutan’ kepada Harimau Malaya.

Pengendali India, Igor Stimac berkata, biarpun bakal berdepan pemain ke ‘12’ di Stadium Nasional, Bukit Jalil, namun mereka mahu menjadikan perlawanan itu sebagai malam yang akan dikenang.

“Malaysia telah bermain banyak perlawanan tahun ini, termasuk menang enam aksi di laman sendiri. Mereka juga seri dengan dua pasukan lebih tinggi ranking iaitu Syria dan China.

“Malaysia turut diperkuatkan beberapa pemain natura­lisasi, jadi, kami akan berwaspada dengan corak permainan mereka. Kami berharap dapat melakar kejutan dan mara ke final,” katanya.

Selain itu Stimac juga me­ngakui, India bakal turun tanpa beberapa tonggak yang cedera, sementara pemain yang dibawa ke kejohanan kali ini sedang bergelut dengan kecergasan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menjangkakan perlawanan menentang India berdasarkan kredibiliti yang dimiliki lawan berkedudukan ke-102 dunia itu.

Pan Gon berkata, berdasarkan pemerhatian dan analisis barisan kejurulatihan, beliau sudah mendapat bayangan corak permainan yang akan diterapkan oleh India dengan mereka dijangka bermain secara agresif, memberi tekanan dan sentiasa mengejar bola.

“Jadi, para pemain kena bersedia sepenuhnya kerana seperti yang kita tahu, pasukan India adalah sebuah pasukan yang hebat kerana mereka berada di kedudukan ke-102 dunia jadi mereka adalah pasukan terbaik di Asia Barat.