sukan

‘Ubi Muda’ Malaysia terus mengganas

Episod cemerlang menewaskan lawan semalam diteruskan wakil negara, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Dream apabila mudah membenam Fagiano Okayama 5-1 pada saingan bawah 13 tahun Piala Supermokh 2023 di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, hari ini.

Rekod membanggakan skuad bimbingan jurulatih, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang menewaskan Zhejiang Profesional FC 4-0 semalam gagal disekat wakil Hong Kong itu walaupun pemain lawan berkelebihan fizikal.

Menurut, Ekhsan Bukharee faktor fizikal pemain pasukan lawan menjejaskan tumpuan pemain AMD Dream terutama pada babak pertama permainan apabila hanya satu gol dapat dicipta Muhammad Fareez Daniel Noorizwani Hafiz pada minit ke 23.

Katanya, kebangkitan pemain dapat dilihat pada babak kedua apabila empat gol dihasilkan menerusi Danish Haykal Faisal pada minit ke 49 dan 62, Muhammad Syaifullah Mahruzi (65 m) dan Adam Muzaffar Mohd Rosdi (69 m) manakala Fagiano mendapat gol menerusi Shunya Kawamoto (43 m).

“Saya amat berpuas hati dengan persembahan dipamerkan barisan pemain AMD Dream pada dua perlawanan dilalui, kesungguhan pemain untuk mencatat kemenangan jelas dapat dilihat sepanjang 90 minit permainan.

“Beraksi dalam cuaca panas menjejaskan permainan tetapi itu tidak melemahkan semangat pemain untuk memburu kemenangan hari ini yang dianggap lebih mencabar berbanding semalam,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, ketajaman penyerang Danish Haykal yang menyumbang dua gol hari ini diharap dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya pagi esok bertemu wakil Thailand, Choburi FC yang menjadi antara pencabar utama saingan bawah 13 tahun musim ini.

sumber:- HM

Ekhsan Bukharee berkata, kemenangan esok akan melayakkan AMD Dream yang dalam kumpulan A melangkah ke peringkat separuh akhir, bertemu naib johan pencabar kumpulan B.