sukan

Pan Gon nak pilih siapa

Siapa yang akan menjadi pilihan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon untuk menggalas tugas sebagai penggempur utama berdepan India dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2023, esok?

Gandingan jentera serangan terbaik harus dibentuk Pan Gon kerana aksi berdepan India di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menjadi perlawanan wajib menang buat Harimau Malaya untuk melangkah ke final.

Selain merebut tiket ke final untuk berdepan Tajikistan, Harimau Malaya selaku tuan rumah juga sudah pasti tidak mahu hanya beraksi satu perlawanan dalam Pestabola Merdeka kali ini susulan penarikan diri saat akhir pasukan Palestin.

Jika melihat kepada aksi persahabatan sebelum ini, Faisal Halim boleh dianggap sebagai calon pilihan teratas Pan Gon untuk mengemudi jentera serangan dan tempat untuk dia berada dalam kesebelasan utama seakan sudah terjamin.

Ia berdasarkan persembahan konsisten Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey bersama Harimau Malaya dengan dia turut meledak gol tunggal skuad negara ketika mengikat China 1-1 dalam aksi persahabatan, bulan lalu.

Mungkin yang menjadi persoalan ketika ini adalah siapa lagi akan dipilih Pan Gon untuk membentuk gandingan bersama Mickey dalam kesebelasan utama bagi merobek gawang India yang berada di kedudukan lebih tinggi dalam ranking dunia.

Penyerang Sabah, Darren Lok juga menjadi calon berpotensi untuk diletakkan sebagai penggempur utama berdasarkan persembahan semasanya bersama Sang Badak terutama di pentas Piala AFC.

Akhyar Rashid menjadi salah satu pemain yang berjaya memberi impak kepada Harimau Malaya meskipun dia kerap dimasukkan sebagai pemain gantian.

Sepanjang enam aksi persahabatan antarabangsa Harimau Malaya tahun ini, Akhyar meledak tiga gol dalam termasuk satu gol yang disumbangkan ketika skuad Pan Gon bangkit mengikat Syria 2-2, bulan lalu.

Justeru, tidak mustahil sekiranya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akan diberi peluang oleh Pan Gon untuk berada dalam kesebelasan utama berdepan India nanti.

Sementara itu, Arif Aiman Hanapi yang dilihat kurang menjadi ketika aksi berdepan Syria tetap berpotensi untuk dipilih pengendali dari Korea Selatan itu sebagai pemain dalam kesebelasan utama.

Pemain berusia 21 tahun itu berjaya memberikan persembahan terbaik bersama JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) terutama meledak dua gol ketika membantu Harimau Selatan menewaskan BG Pathum United 4-2, 3 Oktober lalu.

Berdasarkan kenyataan Pan Gon, beliau tidak hanya menilai pemain berdasarkan satu atau dua perlawanan sahaja, sebaliknya menganggap siapa yang dipanggil adalah mereka yang berhak berada dalam skuad Harimau Malaya.

“Saya tidak melihat kepada persembahan pemain hanya dalam satu perlawanan kerana kadang-kadang prestasi pemain boleh menurun dalam satu atau dua perlawanan.

“Secara umumnya pemain menunjukkan karakter dan memahami taktikal. Apa yang mereka tunjukkan kepada kami, mereka berhak berada di sini. Kami cuba bentuk pasukan secara taktikal, pasukan lebih kuat, lebih bagus dan beraksi dengan lebih baik.

sumber:- BH

“Kadang-kadang orang melihat satu perlawanan tidak bagus dan mereka terus kritik pemain (tertentu). Itu bukan cara saya, kami akan lihat satu perlawanan demi satu perlawanan dan kami cuba bantu mereka, itu kerja saya,” katanya.