Pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ariff Farhan Md Isa yakin Sang Kenari mampu bangkit dalam baki empat perlawanan Liga Super untuk memburu misi menduduki tempat kedua sekali gus meraih slot saingan Piala AFC 2024.
Pemain bek kiri itu berkata, momentum berterusan yang ditunjukkan Kedah yang berada di tempat ketiga buat masa ini dengan mencatat tujuh kemenangan serta satu seri ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini menjadi bekalan terbaik untuk mereka memintas Selangor.
“Kami tidak mahu pandang ke belakang lagi, sebaliknya mahu terus fokus ke depan untuk memastikan langkah kami dalam empat perlawanan terakhir ini berjaya dan tidak mustahil dapat memintas Selangor.
“Kami akan berdepan pasukan Negeri Sembilan FC, Kelantan FC, Selangor FC dan Sabah FC selepas ini yang dilihat cukup sengit dan saya juga berharap penyokong kami juga dapat memainkan peranan dengan hadir lebih ramai memberi sokongan serta semangat yang sangat kami perlukan,” katanya.
Berdasarkan kedudukan liga, Selangor yang beraksi 23 perlawanan sudah mengutip 52 mata, lima mata mengatasi Kedah tetapi Red Giants beraksi lebih satu perlawanan.
Ariff Farhan juga berkata, beliau sedar kekalahan kepada skuad Kuching City yang menyaksikan Sang Kenari tersingkir dari aksi Piala Cabaran minggu lalu menjadi iktibar buat pasukan agar terus memperbaiki setiap aspek kelemahan sepanjang tempoh latihan sebelum aksi Liga Super bersambung.
“Selepas tewas dan tersingkir dari saingan Piala Cabaran kepada Kuching City minggu lalu, fokus kami kini hanya satu iaitu dalam Liga Super, yang mana saya cukup yakin ketua jurulatih Nafuzi Zain memiliki perancangan terbaik.
sumber:- BH
“Saya jangkakan latihan yang lebih terperinci akan dilakukan nanti dalam tempoh dua minggu lebih melalui latihan sebelum perlawanan liga bersambung semula,” katanya.