Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa format pertandingan Pestabola Merdeka 2023 dikekalkan biarpun kejohanan berkenaan disertai tiga pasukan termasuk Malaysia, India dan Tajikistan.
Ia susulan Palestin terpaksa menarik diri daripada menyertai edisi ke-42 itu kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur berikutan situasi tegang di negara berkenaan ketika ini.
Berdasarkan jadual asal, Palestin dijadual bertemu Tajikistan (4.30 petang) manakala Malaysia berdepan India (9.00 malam), Jumaat ini dengan pasukan yang kalah akan merebut tempat ketiga manakala pemenang aksi pertama mara ke final, Selasa ini.
Namun berdasarkan situasi terbaharu, Malaysia kekal akan bertemu India, Jumaat ini di Stadium Nasional manakala Tajikistan kini mendapat ‘bye’ dan akan terus layak ke final.
FAM menjelaskan perubahan format itu adalah penyelesaian terbaik yang dicapai pada mesyuarat khas antara FAM selaku penganjur Pestabola Merdeka 2023 bersama pengurusan pasukan India dan Tajikistan, pagi tadi.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor lain terutama kekangan masa berikutan penarikan diri pasukan Palestin.
sumber:- BH
Sementara itu, untuk bersikap adil kepada kira-kira 25,000 penyokong yang sudah pun membeli tiket bagi menyaksikan kedua-dua hari perlawanan pada 13 dan 17 Oktober, FAM mengekalkan harga tiket berkenaan (bagi semua kategori) biarpun kini membabitkan hanya satu perlawanan pada setiap hari perlawanan.