sukan

Serangan balas Israel rencatkan Pestabola Merdeka 2023

Serangan balas membabitkan pihak tentera Israel dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza menyaksikan terdapat perkhabaran bahawa pasukan bola sepak Palestin tidak dapat menyertai Pestabola Merdeka 2023 yang akan membuka tirai 13 Oktober ini.

Walaupun tiada pengesahan dari Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) ketika ini, namun ketegangan yang memuncak di negara Timur Tengah itu menyaksikan pasukan mereka tidak dapat keluar daripada kawasan berbahaya untuk berlepas ke Malaysia.

Menurut sumber, pasukan bola sepak Palestin sepatutnya berlepas ke Malaysia pada Selasa atau Rabu ini namun terpaksa menangguhkannya kerana pintu sempadan dan lapangan terbang di negara terbabit ditutup atas faktor keselamatan.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) difahamkan ada berhubung dengan pasukan Palestin dengan mereka masih lagi tidak dibenarkan berlepas ke Malaysia atas faktor keselamatan.

“Jika situasi terbabit terus berlanjutan, kemungkinan Palestin menjadi pasukan kedua menarik diri selepas Lubnan sekali gus perlu mengubah format perlawanan Pestabola Merdeka,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Pada Sabtu lalu menyaksikan, Hamas melancarkan Operasi al-Aqsa disertai rakyat Palestin sebagai mesej mempertahankan diri dan menjaga kedaulatan tanah air selain membalas penindasan serta keganasan yang dilakukan rejim Zionis sejak hampir satu abad.

Pertempuran pada Sabtu berlaku selepas beberapa minggu ketegangan semakin meningkat di sepanjang sempadan Israel dengan Gaza, di samping pertempuran di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Sekurang-kurangnya 247 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel setakat tahun ini, manakala 32 warga Israel dan dua warga asing terbunuh dalam serangan membabitkan pihak pejuang Palestin.

Sementara itu, sumber itu berkata, kejohanan Pestabola Merdeka tetap akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran Palestin dan pihak penganjur tidak akan memanggil pasukan lain kerana kesuntukan masa.

“Perlawanan Pestabola Merdeka mungkin akan diubah format membabitkan perlawanan tiga penjuru tanpa penambahan pasukan lain,” katanya.

Sementara itu, menerusi perkongsian PFA di laman sosialnya memaklumkan semua perlawanan Liga Palestin perlu dihentikan untuk sementara waktu.

“PFA mengumumkan bahawa semua perlawanan Liga Primer Tepi Barat (WBPL) dan Liga Primer Jalur Gaza tidak akan berlangsung dalam minggu ini memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan.

sumber:- HM

“Perlawanan persahabatan Palestin dalam Pestabola Merdeka juga akan terjejas. Semua lintasan sempadan dan Lapangan Terbang Lod ditutup,” katanya menerusi hantaran di Twitter.