sukan

Pan Gon tidak ‘goyang’ dengan situasi melanda

Pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon tidak ‘goyang’ terhadap prestasi barisan anak buahnya menjelang sepak mula Pestabola Merdeka walaupun ketika ini negara dilanda jerebu.

Pan Gon berkata, beliau percaya barisan anak buahnya mempunyai DNA yang kuat dan sudah biasa dengan persekitaran terbabit seterusnya tidak akan menjejaskan kesihatan mereka apabila menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya.

Malah, beliau berkata, pihaknya akan menggunakan kepakaran daripada pasukan sains sukan bagi memantau situasi berkenaan dan seterusnya mengambil langkah susulan bagi mengelak segala kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya rasa kondisi badan dan DNA pemain Malaysia sudah terbiasa dengan situasi seumpama ini. Walaupun hujan atau panas, saya tidak terlalu risau mengenainya.

“Namun, kami akan cuba mendapatkan sokongan daripada pasukan sains sukan dan pakar perubatan untuk memastikan tiada pemain yang sakit atau cedera,” katanya.

Mengikut rekod, Malaysia dijadualkan bertemu India dalam perlawanan pertama pada 13 Oktober sebelum bertemu Tajikistan atau Palestin di perlawanan kedua pada 17 Oktober untuk Kejohanan Pestabola Merdeka yang kembali diadakan selepas 10 tahun.

Kesemua perlawanan akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mempunyai padang baharu dan sambutan dari para penyokong sangat menggalakkan apabila lebih 20,000 tiket sudah dijual secara atas talian.

Sementara itu, Pang Gon berkata, kepulangan penolongnya iaitu E Elavarasan ke dalam skuad negara selepas melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun (B-23) akan membantunya memperkemaskan lagi skuad kebangsaan.

Katanya, beliau bangga dengan pencapaian Elavarasan yang berjaya bawa skuad muda layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar tahun hadapan dan kembalinya ke dalam pasukan senior.

sumber:- HM

“Kembalinya beliau akan membantu saya dan pemain untuk membawa semangat positif kepada pasukan,” katanya.