sukan

Pemain muda jadi rebutan termasuk JDT

Muncul selaku penjaring terbanyak Piala Presiden 2023 dengan 13 gol, membuatkan beberapa pasukan Liga Super menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Danish Syamer Tajuddin.

Penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC) berusia 19 tahun itu memaklumkan beberapa pasukan termasuk Johor Darul Ta`zim (JDT) yang ingin mengambilnya sebagai pemain dipercayai sebagai persiapan menghadapi musim hadapan.

Dia bagaimanapun memaklumkan perkara itu masih diperingkat perbincangan lisan dan tiada sebarang keputusan dibuat mengenainya kerana kontrak bersama majikan sekarang akan berakhir hujung bulan ini.

“Memang ada beberapa pasukan menghubungi dan menyatakan minat mengambil saya sebagai pemain mereka. Pasukan JDT juga ada menghubungi tapi belum ada sebarang keputusan kerana kontrak saya dengan Negeri Sembilan akan berakhir hujung bulan ini.

“Namun, perkembangan itu saya lihat sebagai sesuatu yang positif dan sangat memberangsangkan dalam usaha untuk meningkatkan lagi karier sebagai pemain bola sepak.

“Sememangnya menjadi impian saya untuk masa hadapan dapat beraksi dengan pasukan Liga Super dan seterusnya skuad Harimau Malaya,” katanya di sini, hari ini.

Syamer beraksi bersama Negeri Sembilan bagi mengharungi saingan Piala Presiden bermula musim ini, namun dia tidak dapat membantu pasukannya menjulang kejuaraan selepas tewas kepada JDT III dengan agregat 5-1. ‘

Syamer adalah penjaring gol tunggal Negeri Sembilan pada final pertama yang tewas 3-1 berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 24 September lalu sebelum JDT III menang 2-0 pada final kedua di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), 1 Oktober.

“Memang kecewa kerana tidak dapat merealisasikan impian membantu Negeri Sembilan menjulang trofi Piala Presiden tahun ini selepas kali terakhir pasukan ini muncul juara dua tahun berturut-turut pada 2001 dan 2002.

“Mungkin belum ada rezeki untuk dapat juara, tapi bagi saya kejayaan beraksi di pentas final dan muncul naib juara juga suatu pencapaian membanggakan kerana bukan mudah untuk pergi sejauh ini,” katanya.

Syamer yang meluahkan keinginannya untuk mengikut jejak Arif Aiman Hanafi (JDT) dan Mukhairi Ajmal (Selangor FC), akui bimbingan jurulatih Azlan Ahmad banyak membantu meningkatkan lagi tahap prestasinya.

sumber:- HM

“Pencapaian terbaik ini juga hasil bantuan dan kerjasama rakan sepasukan,” kata pemain berasal dari Muar, Johor dan bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Kota Tinggi itu.