sukan

‘Saya boleh tidur lena malam ini’

“Sekurang-kurangnya saya boleh tidur lena dalam perjalanan pulang ke Amerika Syarikat (AS) malam ini,” kata pemain skuasy negara, S Sivasangari.

Pemain berusia 24 tahun itu memenangi pingat emas keduanya pada Sukan Asia 2022 selepas mengungguli acara perseorangan wanita dengan menewaskan pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk 3-2 dalam final penuh dramatik di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou, hari ini.

Sebelum ini, Sivasangari menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara dalam acara berpasukan wanita.

“Saya akan pulang ke AS malam ini dan beraksi di Terbuka AS pada 7 Oktober. Saya balik dengan dua pingat emas dan tidak balik dengan menangis dalam penerbangan.

“Jadi saya boleh tidur lena dalam penerbangan. Saya akan meraikan kejayaan ini selepas Terbuka AS nanti kerana saya akan mendapat cuti selama tiga minggu dan saya akan ambil peluang untuk berehat,” katanya.

Mengulas pertembungan menentang Sin Yuk, Sivasangari mengakui dia agak ‘cuak’ apatah lagi aksi begitu sengit dengan kedua-dua pemain saling bertukar mata sehingga pemenang terpaksa ditentukan pada set kelima.

Malah dia juga terpaksa mengambil masa untuk ‘memahami’ gaya permainan Sin Yuk memandangkan pemain itu tampil dengan corak permainan yang berlainan berbanding sebelum ini.

“Ini salah satu aksi yang sukar dan sebelum ini pun, saya pernah tewas dalam lima set menentangnya. Pada set kelima, saya ketinggalan 7-5, 7-4 tetapi saya tenangkan diri dan cuba dapatkan satu mata demi satu mata.

sumber:- BH

“Kemudian saya mendahului 11-10 dan saya katakan ayuh teruskan. Jadi kemenangan ini begitu emosi buat saya,” katanya.