Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon akui senarai barisan pemain bagi menghadapi saingan Pestabola Merdeka adalah wajah sama yang bakal dibawa Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini dan kempen Piala Asia di Qatar Januari depan.
Jelas Pan-gon, senarai utama membabitkan 25 pemain serta baki 27 tonggak dalam senarai menunggu adalah antara yang terbaik ketika ini di dalam saingan liga domestik mahupun yang beraksi di luar negara.
Malah katanya, selain masing-masing berada pada tahap terbaik, ada juga disenaraikan berdasarkan kepada kesesuaian taktikal dan teknikal pasukan selepas penelitian rapi dibuat sepanjang tahun ini, sekali gus senarai penuh babitkan 52 pemain ini adalah yang terbaik.
“Ketika ini kita berada pada situasi terbaik, sudah tentu ada beberapa muka baru kerana ada antara mereka memiliki tahap yang sama. Di mana ada yang cukup baik dan ada juga dipilih kerana dilihat sesuai dengan taktikal dan teknikal pasukan, serta ada diletakkan dalam senarai menunggu.
“Berdasarkan keseluruhan senarai termasuk dalam senarai menunggu, ini adalah barisan kemungkinan yang akan bermain di Piala Asia dan Kelayakan Piala Dunia nanti,” katanya sekali gus menamatkan teka teki bayangan skuad impiannya di dua kejohanan utama itu nanti.
Dalam pengumuman pemain dibuat pada Isnin lalu, Pan-gon mengekalkan majoriti muka sama yang dibawa ke China pada jendela aksi antarabangsa bulan lalu.
Hanya seorang pemain baharu di senaraikan dalam skuad 25 iaitu dengan memanggil penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi Husin buat pertama kali, sementara lain-lain adalah muka sama atau yang pernah dipanggil sebelum ini.
Manakala, dalam senarai menunggu pula menyaksikan beberapa perubahan termasuk tindakan berani Pan-gon menyenaraikan tiga pemain bawah 23 tahun iaitu Safwan Mazlan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan T Saravanan.
Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kem latihan bagi menghadapi kempen Pestabola Merdeka mulai esok.
sumber:- HM
Di saingan empat penjuru itu nanti, Malaysia akan turun menentang India pada 13 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan seterusnya akan berdepan sama ada Palestin atau Tajikistan di final atau penentuan tempat ketiga pada 17 Oktober ini.