Era kegemilangan Datuk Lee Chong Wei sudah pun berlalu namun figura negara itu masih menjadi nadi utama dalam pembentukan arena badminton negara.
Buktinya, selepas mara ke suku akhir Sukan Asia Hangzhou hari ini, pemain perseorangan badminton negara, Ng Tze Yong mengakui dirinya menerima panggilan telefon dari bekas pemain nombor satu dunia itu.
Pada perlawanan pusingan 16 terbaik di Gimnasium Binjiang, pemain nombor 19 dunia, Tze Yong kelihatan tenang mengatasi lawan dari Thailand, Kantaphon Wangcharoen 21-17, 21-12.
Tahap konsistensi itu hadir selepas dia menundukkan bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew di pusingan kedua, semalam.
Chong Wei – pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik – dijadual tiba di Hangzhou esok atas kapasitinya sebagai ahli jawatankuasa program Road to Gold (RTG) dan juga pengurus pasukan skuad badminton Olimpik Paris 2024.
“Betul, Chong Wei ada menghubungi saya,” kata Tze Yong kepada media selepas perlawanannya menentang Kantaphon. “Namun, saya fikir saya harus simpan sendiri nasihatnya dan tidak mendedahkannya kepada umum.”
Tze Yong selepas ini dijadual bertemu finalis Kejohanan Dunia dari Jepun, Kodai Naraoka di suku akhir.
Kodai yang belum pernah ditewaskan Tze Yong dalam dua pertemuan sebelum ini, menundukkan pemain India, K Srikanth 21-16, 21-17.
Dalam pada itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke suku akhir.
sumber:- BH
Juara Terbuka Perancis 2022 itu menewaskan gandingan Thailand, Jonkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-15, 21-17,
Gandingan negara di ranking kesembilan dunia itu dijadual bertemu beregu kedua dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di pusingan suku akhir nanti.