Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari jelas teruja selepas misi untuk meraih kemenangan membuahkan hasil apabila menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum United 4-2 pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pathum Thani, malam tadi.
Solari menegaskan aksi menentang skuad kendalian Surachai Jaturapattarapong begitu penting buat skuad Harimau Selatan selepas tewas tipis 0-1 kepada Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, 19 September lalu.
Katanya, walaupun tumpas dalam aksi pertama saingan ACL, tetapi pemain Harimau Selatan menunjukkan karakter apabila bangkit di tempat lawan.
“Malam ini (malam tadi) kita buktikan yang kita tidak kekok bermain di tempat lawan apabila berjaya lakar kemenangan yang begitu bermakna, apatah lagi menentang pasukan lawan yang sukar seperti BG Pathum United.
“Kami tidak sabar untuk bermain selepas kekalahan kepada Kawasaki Frontale kerana kami tahu kami boleh beraksi lebih baik. Malam ini adalah ujian cukup mencabar buat kami, dan setiap pemain yang diturunkan bermain dengan hebat,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Mengulas mengenai gol awal BG Pathum United yang hampir menggugat pendekatan taktikal JDT, pengendali kelahiran Argentina itu berkata gol berkenaan bagaikan pencetus kebangkitan barisan pemain Harimau Selatan yang enggan kecundang untuk kali kedua dalam saingan ACL.
“Apabila anda ketinggalan 0-1, ia bagus untuk kami kerana setiap pemain perlu menunjukkan watak untuk memenangi perlawanan di tempat lawan. Itulah sebabnya saya katakan yang saya bangga dengan pemain malah gembira dengan prestasi pasukan,” jelasnya
Solari juga menganggap kualiti permainan barisan pemain BG Pathum United yang kerap memberi tekanan membuat barisan pertahanan JDT perlu menggandakan kerja untuk mengekang gerakan dari posisi sayap kiri dan kanan serta kelicikan Chanathip Songkrasin di posisi tengah.
sumber:- BH
Ditanya mengenai persiapan menentang kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai yang dijadual pada 24 Oktober ini, pengendali dari Argentina belum mahu memikirkan perancangan untuk berdepan skuad kendalian Hong Myung-bo itu kerana mahu memastikan setiap pemain menjalani proses pemulihan.