Johor Darul Ta’zim (JDT) mencuri tiga mata berharga apabila menewaskan kelab Thailand, BG Pathum United 4-2 dalam aksi kedua Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pathum Thani, sebentar tadi.
BG Pathum United terlebih dahulu berada di hadapan seawal minit kelima menerusi sepakan penalti Victor Cardozo, namun kedudukan itu hanya bertahan seminit apabila Arif Aiman Hanapi menyamakan kedudukan buat JDT.
Penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Bergson Da Silva kemudian meledak gol kedua Harimau Selatan dengan menyudahkan umpanan Heberty Fernandes pada minit ke-14.
Aksi sengit terus disajikan pada babak kedua dengan Juan Muniz menambah kelebihan skuad kendalian Esteban Solari apabila menyumbang gol ketiga pada minit ke-53 sebelum Cardozo menyumbat gol kedua BG Pathum United, dua minit kemudian.
Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia musim 2021 dan 2022 mengesahkan kemenangan JDT apabila melakukan rembatan deras dari sudut sukar untuk sekali lagi menewaskan penjaga gol BG Pathum United, Chatchai Bootprom pada minit ke-78.
Keputusan itu menyaksikan JDT yang tewas 0-1 dalam aksi pertama kepada Kawasaki Frontale, 19 September lalu menghuni tangga kedua kumpulan, berkongsi tiga mata bersama kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai di kedudukan ketiga.
sumber:- BH
Kawasaki Frontale memimpin saingan Kumpulan I apabila merekodkan kemenangan bersih dalam dua perlawanan awal selepas menewaskan Ulsan Hyundai 1-0 dalam aksi yang turut berlangsung, hari ini.