sukan

Kalau anda melepasi garisan itu, saya akan kejar anda — Zii Jia

Walaupun bergelut dengan prestasi tidak konsisten, pemain perseorangan negara Lee Zii Jia berjaya melangkah ke pusingan kedua di Sukan Asia Hangzhou.

Pemain nombor 16 dunia itu bangkit daripada kekalahan pada set pertama untuk menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long 15-21, 21-15, 21-16 dalam pertarungan selama 62 minit di Stadium Binjiang, di sini, hari ini.

Kemenangan itu menjadi motivasi besar buat pemain kelahiran Kedah berusia 25 tahun itu yang tidak pernah mengalahkan Angus sejak Terbuka Jerman 2019.

Bagi pusingan kedua, bekas juara All England itu akan menentang Mourinho Gusmao de Jesus dari Timor Leste yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama.

“Saya gembira kerana ini satu kejayaan buat saya selepas tewas kepada Angus dalam beberapa pertemuan terakhir.

“Saya sudah lupakan mengenai kekecewaan dalam acara berpasukan minggu lalu, kerana kami perlu bersikap profesional dan terus bergerak ke hadapan.

“Saya juga perlu mengambil peluang ini dan mendapatkan momentum,” kata Zii Jia yang menjadi antara pemain tidak dapat memberikan mata buat Malaysia ketika tewas 1-3 kepada Korea Selatan dalam pusingan pertama acara berpasukan lelaki, minggu lalu.

Dalam perkembangan bersaingan, mengenai isu yang membabitkan dirinya baru-baru ini, bekas pemain nombor dua dunia itu memberitahu pemberita: “Saya juga mahu berkongsi sesuatu.

“Sejak saya meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), terdapat banyak perkara yang diperkatakan mengenai saya. Ada yang benar dan ada yang tidak.

“Saya tahu ini adalah tugas media dan saya tidak boleh menghalang sesiapa daripada melaporkan perkara yang mereka mahukan.

sumber:- BH

“Tetapi apa yang saya ingin katakan ialah jangan sentuh keluarga saya. Kalau anda melepasi garisan itu, saya akan kejar anda,” tambah Zii Jia.