Arab Saudi kini dalam perancangan untuk membawa pengadil-pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) pula ke liga bola sepak negara itu.
Kelab-kelab Arab Saudi berbelanja besar membawa masuk pemain-pemain bintang ke Liga Pro Saudi pada jendela musim panas lalu, antaranya Neymar, Karim Benzema, Jordan Henderson, dan Ruben Neves.
Mereka turut mendapatkan jurulatih-jurulatih terkemuka seperti bekas pengendali Wolves dan Tottenham, Nuno Espirito Santo (menyertai Al-Ittihad) dan legenda Liverpool, Steven Gerrard yang bersama Al-Ettifaq.
Kini tumpuan mereka adalah menambah baik mutu pengadilan di atas padang dengan membawa masuk pengadil-pengadil berpengalaman dari liga-liga tertinggi Eropah.
Liga Pro Saudi sering membawa masuk pengadil-pengadil antarabangsa dari New Zealand, Paraguay dan Argentina untuk mengadili perlawanan-perlawanan istimewa.
Namun sasaran mereka kini adalah menawarkan kontrak sekurang-kurangnya semusim kepada pengadil-pengadil luar bagi memastikan liga mereka berjalan lancar.
Selepas kehilangan pemain-pemain ternama, liga-liga Eropah mungkin perlu berwaspada sebaik sahaja Arab Saudi menawarkan gaji tetap kepada pegawai-pegawai perlawanan.
Gaji pengadil di Liga Perdana Inggeris sekitar 120,000 hingga 300,000 pound (RM689,560 hingga RM1.72 juta), dan liga Saudi dijangka mampu menawarkan gaji jauh lebih tinggi.
sumber:- BH
Mutu pengadilan di Saudi mula dipersoalkan selepas bekas pengadil Liga Perdana Inggeris, Mark Clattenburg mendedahkan yang ketua pengadil di negara itu pada tahun 2017 dan 2018 tidak memahami peraturan asas sukan berkenaan.