Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-1 pada aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Esteban Solari mara ke separuh akhir agregat 7-1 dan akan berdepan sama ada Perak FC atau Sabah FC yang akan membuat perhitungan di Stadium Perak, Ipoh, Isnin ini selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas, 15 September lalu.
Pada aksi suku akhir kedua malam ini, Solari bertindak membuat rombakan apabila menurunkan Farizal Marlias mengemudi gawang gol selain kelibat Mahamadou Sumareh, Akhyar Rashid, Oscar Arribas, Syahmi Safari dan Syamer Kutty Abba tersenarai dalam kesebelasan utama.
JDT tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan selepas bola hantaran lintang Juan Muniz pada minit keenam tepat kepada Bergson Da Silva yang sempat melayangkan badan untuk menanduk bola menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Firdaus Irman Fadhil.
Gol yang dihasilkan Bergson juga adalah gol ke-100 peribadi pemain import dari Brazil itu sejak menyertai skuad Harimau Selatan pada musim 2021.
Sentuhan berbisa Bergson terus menyerlah apabila mencetak gol kedua peribadi sekali lagi menerusi tandukan pada minit ke-11 selepas menerima bola sepakan percuma Muniz dan meletak skuad Harimau Selatan selesa dengan kedudukan 2-0 dan agregrat 5-0.
Muniz yang menjadi perancangan utama dua gol awal itu, turut mencipta gol ketiga buat skuad Harimau Selatan pada minit ke-29 selepas bola sepakan percuma dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Firdaus Irman.
Serangan balas skuad kendalian K Devan pada minit ke-39 berjaya menghasilkan jaringan berpunca daripada bola gerakan Mahali Jasuli di posisi sayap kiri bertindak pantas mengumpan bola kepada Zamri Pin Ramli yang tidak menunggu lama apabila merembat bola kencang menewaskan Farizal walaupun sudut gawang gol begitu sempit.
Bersambung babak kedua, Solari memasukkan Fernando Forestirie Diogo Luis Santo dan Arif Aiman Hanapi bagi menguatkan barisan serangan dan kelibat ketiga-tiga pemain itu mengundang tekanan buat benteng skuad Hobin Jang Hobin yang mula beraksi secara berkampung di kawasan sendiri.
sumber:- BH
Bagaimanapun, Forestieri kembali menemui sentuhan penyudah selepas berehat panjang akibat kecederaan apabila menyudahkan bola umpanan Diogo bagi menewaskan penjaga gol gantian, Sikh Izhan Sikh Azman pada minit akhir permainan.