sukan

Komen Kim Swee selepas menang aksi pertama AFC

Sabah FC bertekad untuk memperbaiki lagi rentak permainan terutama aspek penyudah yang dilihat masih tumpul bagi menghadapi perlawanan seterusnya dalam saingan Piala AFC.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata walaupun berjaya menundukkan Hougang United FC dari Singapura 3-1 dalam aksi pembuka tirai Kumpulan H di Stadium Likas malam tadi, aspek penyudah pasukannya masih lemah.

“Ini satu permulaan yang positif di mana kita tahu dengan keadaan cuaca atau padang yang tidak begitu baik, kita mampu mendapatkan keputusan yang kita inginkan.

“Namun, banyak lagi yang kita perlu perbaiki terutama dari segi penyudah dan ini penting jika kita ingin layak ke peringkat seterusnya,” katanya selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan malam tadi, Sabah mendahului menerusi Gabriel Peres seawal minit kelima, disusuli dua lagi gol oleh Darren Lok pada minit ke-38 dan 62, manakala gol tunggal Hougang dijaringkan Takayama Kazuma.

Kim Swee mengakui keadaan padang yang licin turut mempengaruhi rentak permainan kedua-dua pasukan dan merencatkan perancangan pasukannya dalam usaha menepati sasaran setiap kali mempunyai peluang dan cubaan untuk menjaringkan gol.

“Namun kita berjaya mendapatkan dua gol melalui ‘set piece’ dan juga semangat juang yang tinggi ditunjukkan pemain selepas kita dibolosi,” katanya.

Sementara itu, pengendali Hougang United FC Marko Kraljevic, menyifatkan keadaan cuaca dan padang ketika perlawanan dalam suasana hujan lebat itu memberi kelebihan kepada pemain Sabah untuk mencapai sasaran mereka memenangi permainan itu.

Beliau mengakui, pemainnya tidak memiliki keupayaan fizikal seperti dimiliki pemain tuan rumah terutama dalam berdepan perlawanan yang mencabar akibat cuaca yang tidak mengizinkan.

sumber:- BH

“Pemain Sabah memang sudah biasa dengan keadaan ini… bola tinggi, bola jauh atau apa sekalipun, itu memang kelebihan mereka, mereka mendominasi di sini dan keadaan cuaca (hujan) ini memang sesuai dengan mereka,” katanya.