Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyifatkan tuah memihak kepada pasukannya selepas berjaya mengutip tiga mata pertama berdepan kelab Australia, Central Coast Mariners pada aksi Kumpulan G saingan Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, melihat deretan peluang yang dimiliki skuad kendalian Abbas Saad itu, pastinya keputusan sebaliknya berlaku, namun ianya gagal diterjemahkan dengan jaringan biarpun kubu TFC kerap diasak terutama pada babak pertama perlawanan.
Katanya, kekentalan barisan pertahanan yang sepenuhnya dibarisi pemain tempatan selain kecemerlangan penjaga gol, Suhaimi Husin banyak membantu menggagalkan usaha pasukan The Mariners memburu jaringan.
Bagaimanapun jelasnya, anak buahnya juga tidak kurang hebatnya dengan banyak mencipta peluang untuk menambah jaringan termasuk satu peluang terkena tiang menerusi kapten, Habib Haroon pada babak kedua perlawanan.
“Apapun skuad lawan memang nampak kuat, tapi tuah memihak kepada kami untuk melakar kemenangan, saya begitu gembira kerana dapat kutip mata, namun masih ada lima perlawanan lagi dalam peringkat kumpulan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, gol kemenangan skuad Penyu hasil jaringan sendiri pertahanan pelawat, Nathan Paull yang tertampan bola ke gawang sendiri pada masa kecederaan babak pertama hasil hantaran lintang pemain TFC, Nurillo Tukhtasinov sekali gus menyaksikan bekas penjaga gol kebangsaan Australia, Danny Vukovic tergamam.
sumber:- BH
Mengulas lanjut, jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu mengingatkan anak buahnya agar tidak dibuai mimpi indah kerana masih ada tugasan yang perlu diselesaikan dalam masa terdekat terutama menentang Selangor FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad ini.