sukan

Bukti JDT bukan sekadar ‘jaguh kampung’

Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak patut dilabel sebagai ‘jaguh kampung’ selepas tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi sulung Liga Juara-Juara Asia (ACL), kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menegaskan bahawa Harimau Selatan berjaya memberikan saingan sengit kepada kelab gergasi Jepun itu terutama mencipta banyak peluang untuk menghasilkan gol.

Beliau berkata, berdasarkan laporan juga ketua jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki turut mengakui terkejut dengan peningkatan permainan yang ditunjukkan anak buah Esteban Solari dalam aksi Kumpulan I itu.

Justeru, katanya, tanggapan sesetengah pihak yang melabel juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu sebagai jaguh kampung adalah silap.

“Orang yang cakap JDT jaguh kampung ini sebenarnya silap. Kita lihat kepada komen ketua jurulatih Kawasaki Frontale pun dia terkejut dengan persembahan JDT.

“Kalau kita lihat banyak peluang yang dimiliki atau dicipta oleh JDT. Namun, bahagian serangan kurang menjadi dalam perlawanan itu yang menyaksikan mereka terlepas beberapa peluang dan perkara itu berlaku kepada setiap pasukan.

“Jadi janganlah kita mudah mengatakan JDT jaguh kampung. Mereka jadi jaguh kerana mereka bekerja kuat, jangan cakap jadi jaguh tanpa kerja kuat, mereka kerja kuat dari awal.

“JDT beri saingan yang membanggakan rakyat Malaysia. Kita juga dapat lihat dari aksi itu betapa kebolehan pemain negara yang mewakili JDT meningkat dan kita yakin ia akan memberi sesuatu yang manis buat pasukan kebangsaan di Piala Asia nanti,” katanya kepada BH Sukan.

Berdasarkan statistik, JDT menguasai 51 peratus penguasaan bola dalam perlawanan itu selain berjaya melakukan 14 percubaan termasuk empat daripadanya adalah percubaan tepat manakala Kawasaki Frontale juga melakukan empat percubaan tepat daripada 10 percubaan yang dilakukan mereka.

Kekalahan itu menjadi kekalahan pertama yang dialami JDT musim ini selepas tidak pernah tewas dalam semua pertandingan di pentas Liga Malaysia (Liga M).

Selain itu, Azlan menyifatkan ketiadaan dua tonggak utama, Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez memberi impak besar kepada persembahan JDT ketika berdepan Kawasaki Frontale.

“JDT agak lambat untuk bertukar hantaran ke atas kerana ketiadaan dua pemain itu dan ia tidak seperti biasa. Gandingan mereka sebelum ini kita dapat lihat hantaran bola ke atas cepat dilakukan yang membolehkan pasukan menjaringkan gol.

sumber:- BH

“Ketiadaan mereka memberi impak besar kepada JDT. Bagaimanapun kekalahan 1-0 itu bagi saya satu keputusan yang baik kepada JDT, maksud saya mereka sudah pamerkan peningkatan yang cukup tinggi,” katanya.