sukan

Terima kasih TMJ, janji tidak ulang kesilapan

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bertekad mahu memperbaiki prestasinya selain tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan ketika Harimau Selatan tumbang 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam tadi.

Ahmad Syihan yang melakukan penampilan pertama dalam saingan ACL turut berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan kepercayaan buatnya untuk beraksi di kejohanan bola sepak tertinggi kelab Asia itu.

“Bagi Syihan kalau beraksi di tahap ini, kita tidak boleh buat kesilapan walau sesaat pun kerana kita akan dihukum tetapi Syihan anggap semua itu rezeki dan tidak boleh cakap banyak dan ini juga satu pengajaran buat Syihan untuk perbaiki apa yang kurang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.

Pada aksi berkenaan, kegagalan penjaga gol itu mengagak bola dengan tepat hantaran pemain lawan pada hujung babak pertama membolehkan Marcinho yang tidak dikawal menjaringkan gol kemenangan pelawat ketika pintu gol ternganga.

Pemain kelahiran Kelantan yang kelihatan sedikit kecewa kerana gagal meraih keputusan positif di laman sendiri berazam untuk bangkit dan terus bergerak ke hadapan kerana masih ada baki lima perlawanan dalam peringkat kumpulan.

“Bagi setiap pemain, kami mahukan mata di tempat sendiri kerana kita tidak tahu apa yang berlaku di luar jangkaan kita sebab itu penting untuk dapat mata di tempat sendiri dan kini apa yang perlu diperbaiki kita perlu perbaiki secepat mungkin kerana kita ada banyak lagi perlawanan.

“Semua pemain telah berikan lebih dari 100 peratus tetapi jika ianya bukan rezeki kita, kita perlu terima dan kita perlu terus bergerak ke hadapan untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” jelasnya.

sumber:- BH

Skuad Harimau Selatan seterusnya akan menentang kelab dari Thailand BG Pathum pada 3 Oktober ini untuk perlawanan kedua Kumpulan I.