sukan

Luahan pengendali JDT selepas tumbang aksi pertama

“Saya tidak suka kalah tapi jika memilih untuk kalah, inilah caranya kerana kami sudah beraksi dengan baik dan membuat pasukan lawan cemas sebelum mereka menang.”

Itu luahan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari selepas pasukannya tumpas 1-0 di tangan Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Jurulatih kelahiran Argentina itu enggan menyalahkan pemainnya terutama penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang tersilap percaturan apabila membiarkan gawang terbuka luas yang membolehkan Marcinho menjaringkan gol tunggal pada minit akhir babak pertama.

Katanya, kesilapan dalam bola sepak sebahagian daripada permainan dan tidak boleh menyalahkan mana-mana pemain malah Syihan sudah memberi yang terbaik dalam perlawanan itu.

“Mungkin Syihan mengambil keputusan kurang bijak untuk keluar dari posisi tapi saya enggan salahkan dia kerana keputusan dibuat begitu pantas dan gagal untuk menangkap bola malah pemain lawan sempat tanduk kepada nombor 23 (Marcinho) untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.

“Sepatutnya kami mendapat sepakan penalti selepas Arif (Aiman Hanapi) dijatuhkan dalam kotak penalti tapi pengadil meneruskan permainan dan saya anggap tiada rezeki untuk kami.

“Apapun pada babak kedua, kami berjaya membuatkan lawan sesak nafas selepas memberi tekanan dengan asakan bertali arus namun hanya penyudah terakhir yang gagal ditemui,” katanya.

Mengenai Arif Aiman yang menonjol dalam perlawanan itu, bekas penolong jurulatih Bawah 23 tahun Argentina itu menyifatkan pemain muda JDT itu sudah memberi yang terbaik tetapi apakan daya beberapa percubaan berbahaya yang dilakukan gagal menemui sasaran.

“Arif beraksi cemerlang dan saya bangga dengan apa yang dipamerkan, mungkin nasib tidak menyebelahinya selepas beberapa percubaan berbahaya diselamatkan penjaga gol lawan dan saya akui agak kecewa dengan kekalahan.

sumber:- BH

“Tapi inilah bola sepak dan kami perlu terus bergerak ke hadapan dan ia juga memberi pengajaran buat kami dan apa jua kesilapan yang dilakukan akan segera diperbaiki,” kata Solari.