Selesai sudah empat perlawanan pusingan pertama peringkat suku akhir Piala Malaysia minggu lalu dan hanya dua pasukan dapat menarik nafas lega apabila berjaya membawa bekalan selesa menjelang pusingan kedua nanti, iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu.
Bagi Kuala Lumpur City pula, mereka hanya dapat membawa berkalan tipis sahaja setelah berjaya menewaskan Sri Pahang 1-0 di laman sendiri, manakala Sabah dan Perak hanya mampu seri 2-2.
Itu menunjukkan saingan suku akhir ini masih terbuka untuk mencari tempat ke separuh akhir edisi ke-102.Hanya Harimau Selatan selaku juara bertahan sahaja nampak lebih selesa berbanding Terengganu.
Walaupun Sang Penyu berjaya menumpaskan The Red Giants, pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner itu tidak boleh merasa selesa kerana mereka akan berhadapan dengan anak didik Tan Cheng Hoe di Stadium MBPJ. Ini akan memberi sedikit kelebihan kepada juara 33 kali Piala Malaysia itu kerana mengikut rekod pertemuan di MBPJ, ia lebih banyak memihak Selangor dan sudah tentu ia akan menyemarakkan semangat anak didik Tan Cheng Hoe.
Bagi Sabah pula, pemain-pemainnya perlu menyalahkan diri mereka sendiri apabila tidak mengambil peluang untuk mencipta kemenangan selesa di laman sendiri kerana sikap mereka yang memberi peluang kepada The Bos Gaurus untuk bangkit. Jika tidak melakukan kesilapan mudah dan memberi ruang untuk Perak menjaringkan gol, sudah tentu ia akan banyak memberi manfaat pada The Rhinos, namun kini, pemain Sabah telah memberikan motivasi kepada pemain Bos Gaurus untuk terus bangkit mencari kemenangan kedua pusingan kedua di laman mereka nanti.
Sri Pahang pula masih lagi mempunyai harapan untuk bangkit menewaskan Kuala Lumpur City kerana selepas ini, Tok Gajah akan bermain di laman sendiri. Ini sudah tentu akan meningkatkan semangat pemain Tok Gajah dan Fandi Ahmad selaku jurulatih mampu merencanakan strategi yang lebih sesuai. Bukan itu sahaja, kehadiran penyokong pasti akan menambah kekuatan kepada Fandi dan anak didiknya.
sumber:- SA
Ini akan menjadikan saingan Piala Malaysia edisi ke-102 ini amat menarik untuk diikuti dan ada kemungkinan kejutan-kejutan akan berlaku.