Badi kekalahan kepada kelab Jepun terus menghantui Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada aksi pertama Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Apapun nasib tidak menyebelahi JDT yang mempamerkan aksi berintensiti tinggi sehingga memaksa skuad kendalian Toru Oniki bermandi peluh sebelum melakar kemenangan.
Sebaik babak pertama bermula, kedua-dua pasukan tampak bermain secara permainan terbuka dengan masing-masing menguasai posisi tengah dan cuba melakukan serangan berbahaya dalam usaha memburu gol.
Kawasaki Frontale mengundang cemas gawang JDT pada minit ke-13 namun bola sepakan percuma Yasuto Wakizaka sekadar terkena benteng tuan rumah sekali gus menyelamat gawang JDT daripada dibolosi.
Skuad bimbingan Esteban Solari turut mengambil peluang menggempur benteng pelawat pada minit ke-17 selepas bola sepakan percuma Juan Muniz berjaya ditanduk Bergson Da Silva tapi tidak tepat ke sasaran.
Ketika aksi memasuki minit ke-21, Arif Aiman Hanapi bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti tetapi berjaya dihalang penjaga gol, Jung Sung-ryong yang menyaksikan pemain JDT mendakwa dia dikasari oleh penjaga gol pelawat.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan Abdulrahman Al-Jassim dari Qatar yang melihat video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan tiada kekasaran terhadap Arif Aiman.
Ketika aksi babak pertama berbaki seminit untuk ditamatkan, Kawasaki Frontale mengambil kesempatan daripada kelekaan benteng tuan rumah selepas bola sepakan lambung Akihiro Ienaga berjaya ditanduk ke belakang Tatsuki Seko dan Marcinho yang tidak dikawal melakukan sepakan libas tepat menerjah jaring selepas Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tidak berada di posisinya.
Bersambung babak kedua, Arif Aiman hampir mencetus gol penyamaan pada minit ke-47 selepas memberanikan diri untuk menyusup masuk ke dalam kotak penalti namun bola rembatannya berjaya dihalang Sung-ryong.
Kawasaki Frontale hampir menambah jaringan pada minit ke-60 selepas Seko sempat menendang bola walaupun diasak Ahmad Syihan dan Matthew Davies namun Shane Lowry bertindak pantas mengeluarkan bola sebelum bola masuk ke gawang yang terbuka.
sumber:- BH
JDT yang sedar betapa kesuntukan masa mula menggandakan asakan bagi mengintai ruang untuk mencipta gol penyamaan namun tindakan pemain Kawasaki Frontale yang `berkampung’ di kawasan sendiri pada lima minit terakhir menyukarkan anak didik Solari.