sukan

Rahsia tumbangkan ‘King Of Malaya’

Disiplin tinggi selain bijak memanfaatkan peluang terhidang adalah kunci kemenangan Terengganu FC (TFC) menumpaskan Selangor FC 2-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Tambah pengendalinya, Tomislav Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil ‘Tommy’, kurang melakukan kesilapan individu selain tidak memberikan peluang buat skuad The Red Giants ‘bermaharajalela’ di dalam kawasan penalti turut menjadi faktor kemenangan pasukannya biarpun tiada tonggak pertahanan import yang membarisi skuadnya dalam perlawanan itu.

Tegas pengendali kelahiran Croatia itu, kesungguhan yang diperagakan anak buahnya dengan aksi konsisten melayakkan pasukannya memenangi perlawanan itu biarpun sebelum ini dibelasah 5-1 dalam saingan Liga Super.

“Tahniah buat semua pemain yang beraksi cemerlang, tidak lupa juga buat penyokong yang memenuhi stadium pada malam ini (malam tadi) kerana mereka dapat menyaksikan perlawanan yang berkualiti.

“Sejujurnya persembahan yang baik dipamerkan pemain bermula pada babak pertama lagi dengan bijak mengawal permainan dan tidak kurang lima percubaan tepat berbanding lawan, pasukan kami berhak memenangi perlawanan pada malam ini (malam tadi).

“Lebih membanggakan saya apabila pemain muda yang diberikan peluang beraksi berjaya membalas kepercayaan kami, begitu juga dengan pemain berpengalaman, kombinasi mereka kian mantap dan terserlah.

“Kunci utama kemenangan adalah disiplin yang tinggi, kurang melakukan kesilapan individu selain bijak mengawal permainan dengan kerap melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan sehingga berjaya mendapatkan dua gol,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan itu, TFC mendapat gol pertama menerusi sepakan penalti Ivan Mamut pada masa kecederaan babak pertama sebelum pemain muda, Muhammad Syahmi Zamri menambah gol kedua pasukannya pada masa kecederaan babak kedua.

sumber:- HM

Bagaimanapun jelas Tommy, anak buahnya tidak boleh dibuai dengan kemenangan itu kerana perlu fokus untuk berdepan dengan kelab dari Australia, Central Coast Mariners pada aksi pertama peringkat Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Rabu ini.