sukan

Pelik dengan Akhyar

Skuad Harimau Malaya tidak perlu bimbang dengan perkembangan tonggak lincah negara, Akhyar Rashid yang pastinya terus berkembang di bawah kendalian Esteban Solari di Johor Darul Ta’zim (JDT).

Meskipun Akhyar kurang mencatat minit permainan bersama JDT, jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yakin tahap latihan yang berintensiti tinggi di kem latihan kelab terbabit mampu meningkatkan lagi persembahan pemain sayap itu.

“Kita boleh lihat bagaimana pada dua aksi persahabatan Harimau Malaya baru-baru ini, Akhyar terus menunjukkan peningkatan prestasi setiap kali turun bermain.

“Peminat pasti anggap situasi ini agak luar biasa kerana dia jarang mendapat minit permainan yang cukup ketika bersama JDT tetapi menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Namun, kita tahu kualiti yang ada dalam kelab JDT dan sesi latihan bersama pemain terbaik juga sememangnya membantu Akhyar untuk mengekalkan prestasinya di tahap tertinggi,” katanya.

Dalam aksi persahabatan di China baru-baru ini, Akhyar antara tonggak paling menyerlah dengan dia meledak satu gol ketika mengikat Syria 2-2.

Malah, aksi menentang China juga menyaksikan pemain kelahiran Alor Setar itu mencetuskan gerakan kepada jaringan pasukan negara yang kemudiannya disudahkan Faisal Halim untuk mengejutkan negara tembok besar China itu dengan keputusan 1-1.

sumber:- HM

Selepas dua aksi terbabit, Malaysia bakal mengharungi saingan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan depan, dengan sentuhan Akhyar sekali lagi bakal dipertaruhkan kem negara.