sukan

Malaysia buat Iran putih mata

Skuad Bawah 23 tahun (B-23) boleh dianggap bernasib baik selepas berjaya meloloskan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.

Selepas menunggu dengan penuh debaran sehingga pusingan kelayakan berakhir sepenuhnya, skuad bimbingan E Elavarasan mengesahkan tempat ke pusingan akhir selaku satu daripada empat naib juara terbaik.

Rekod disiplin yang lebih baik jelas membantu skuad negara menempatkan diri pada kedudukan terakhir bagi empat naib juara terbaik bersama Kuwait, Tajikistan dan juga China.

Bagi slot terakhir itu, Malaysia sebenarnya terikat bersama Iran kerana kedua-dua pasukan memiliki enam mata, jumlah perbezaan jaringan dan jumlah jaringan yang sama.

Namun Malaysia hanya mencatat -4 bagi mata disiplin manakala Iran mencatat -7 sekali gus menyaksikan Malaysia berjaya mengetepikan Iran yang berputih mata menduduki kedudukan kelima bagi carta naib juara terbaik.

Terdahulu, skuad Harimau Muda terlepas slot automatik ke Piala Asia B-23 apabila tewas tipis 1-0 di tangan rumah, Thailand pada aksi terakhir Kumpulan H pusingan kelayakan di Stadium Chonburi, semalam.

Meskipun cemerlang dengan dua kemenangan ke atas Bangladesh dan Filipina, kekalahan itu menyaksikan skuad negara menamatkan sainga kelayakan di tangga kedua.

Sebagai rekod, ini kali ketiga Malaysia bakal beraksi di Piala Asia B-23 selepas edisi 2018 di China dan edisi 2022 di Uzbekistan.

Pencapaian terbaik mereka adalah berjaya maa sehingga ke suku akhir pada edisi 2018 namun gagal melepasi peringkat kumpulan dalam edisi empat tahun berikutnya.

sumber:- BH

Saingan Piala Asia B-23 ini memberikan slot untuk ke Sukan Olimpik 2024 bagi tiga pasukan terbaik sementara pasukan keempat terbaik akan mengharungi ‘play-off’ menentang pasukan dari Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).