sukan

Terkini: Malaysia sah layak secara Automatik

Skuad Bawah 23 tahun (B-23) boleh menarik nafas lega untuk mara ke Piala Asia B-23 2024 walaupun tewas 1-0 di tangan Thailand pada aksi kelayakan di Stadium Chonburi, malam tadi.

Malaysia layak secara automatik selepas berada dalam kelompok empat naib juara terbaik yang turut mendapat slot ke pusingan akhir di Qatar.

Pada aksi terbabit, Malaysia lebih mengawal permainan namun beberapa peluang yang ada gagal dimanfaatkan sebaik mungkin untuk merobek gawang Thailand.

Sebaliknya, Malaysia hanya mampu mempertahankan gawang selama 20 minit apabila tandukan Yotsakon Burapha menewaskan Sikh Izhan Nazrel untuk gol pembukaan tuan rumah.

Ia gol pertama yang dibolosi skuad negara selepas tidak melepaskan sebarang gol dalam dua perlawanan pertama berdepan Bangladesh dan Filipina sebelum ini.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus melancarkan serangan namun bergelut untuk mengancam gawang lawan apabila gagal melakukan sebarang percubaan tepat.

Thailand berjaya mempertahankan kelebihan satu jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus mara ke pusingan akhir selaku juara Kumpulan H.

Sebagai rekod, hanya 16 pasukan terdiri daripada 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik selain tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 tahun depan.

sumber:- BH

Saingan Piala Asia B-23 memberikan slot untuk ke Sukan Olimpik 2024 bagi tiga pasukan terbaik sementara pasukan keempat terbaik akan mengharungi aksi play-off menentang pasukan dari Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).