sukan

JDT masih belum dapat guna dua Tonggak

Johor Darul Ta’zim (JDT) mencari bekalan selesa apabila berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam esok.

Walaupun belum dapat menggunakan khidmat dua tonggak utama, Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez yang masih cedera, pengendali JDT, Esteban Solari akan tetap membariskan kesebelasan terbaik.

Solari tidak panik dengan ketiadaan dua pemain ‘maestro’ skuad Harimau Selatan itu, sebaliknya persiapan dibuat dengan rapi bagi memburu kemenangan selesa apabila berdepan skuad kendalian K Devan.

“Fernando sedang menjalani proses pemulihan dan memerlukan lebih kurang 10 hari untuk pulih dan saya tidak mahu ambil risiko.

“Jadi, kami akan lihat sama ada dia akan cergas sepenuhnya menjelang aksi pertama Liga Juara-Juara Asia (ACL).”Leandro pula memerlukan masa agak lama dan saya rasa mengambil beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya. Apapun tanpa mereka , kami masih mengekalkan konsistensi dan mengamalkan corak permainan berintensiti tinggi.

“Untuk aksi menentang Negeri Sembilan, sudah tentu ia penting bagi kami kerana mahu cari bekalan selesa, tetapi pada masa sama, kami harus berwaspada dengan ancaman pasukan lawan yang mungkin tampil dengan corak permainan berbeza,” katanya.

Bagi Solari, walaupun JDT pernah membelasah anak didik Devan 7-0 pada aksi Liga Super, 6 Mac lalu, ia adalah cerita lama dan mereka perlu memperkemaskan lagi disiplin taktikal bagi memenangi perlawanan.

sumber:- HM

Justeru pengendali kelahiran Argentina itu bakal mempertaruhkan penyerang prolifik, Bergson Da Silva bagi mengemudi jentera serangan dan dibantu Heberty Fernandes serta Arif Aiman Hanapi untuk mencari gol.