sukan

Pan Gon dedah rahsia Harimau Malaya hampir ‘baham’ China

Sikap tidak takut dengan mana-mana pasukan lawan menjadi faktor Harimau Malaya berjaya mengikat pasukan ranking ke-80 dunia, China dalam aksi persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, malam tadi.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menjelaskan semua pemain dan barisan kejurulatihan juga meletakkan kepercayaan antara satu sama lain untuk membuat seluruh rakyat Malaysia bangga dengan pasukan itu.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, Harimau Malaya akan berusaha untuk mencipta sejarah baharu dan mengidamkan untuk berada dalam kelompok 100 teratas dalam ranking dunia pada masa akan datang.

“Kami tidak takut dengan mana-mana lawan, pemain dan barisan kejurulatihan percaya antara satu sama lain. Kami bekerja keras bersama dan cuba buat rakyat Malaysia bangga.

“Malam ini, walaupun kami berdepan pasukan di ranking ke-80 dunia. Kita tahu China pasukan yang kuat dan beraksi di Piala Dunia, namun kami bersama-sama katakan bahawa kami tidak boleh takut.

“Kami cuba melakukan yang terbaik untuk mengawal permainan dan bermain agresif. Walaupun kalah sekali pun saya fikir ia tidak penting kerana yang paling penting adalah persembahan kami,” katanya selepas perlawanan.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, Harimau Malaya yang berada di ranking ke-136 dunia mencipta kejutan apabila terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Faisal Halim pada minit ke-11 selepas menerima hantaran Akhyar Rashid.

sumber:- BH

Bagaimanapun China berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras Lin Liangming yang gagal diselamatkan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-36.