sukan

Enggan lepas peluang kedua

Selepas kempunan beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada 2021, penyerang muda Terengganu FC (TFC), Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob tidak mahu melepaskan peluang kedua beraksi di pentas Asia itu pada 20 September ini.

Jelas pemain berusia 25 tahun kelahiran Besut itu, dia mahu membuktikan kemampuan sebenarnya di pentas Asia pada penampilan pertamanya selepas tidak dapat dibuktikan pada dua tahun lalu.

Shakir yang memulakan kariernya bersama skuad Belia Terengganu pada 2017 dan kemudian bersama Terengganu FC II (TFC II) pada 2020 sebelum dinaikkan ‘pangkat’ bersama pasukan utama, TFC pada 2021 sehingga kini juga mahu meledak jaringan di pentas Asia itu.

“Sejujurnya saya begitu kecewa dan kempunan kerana tidak dapat membantu TFC pada pentas Asia dua tahun lalu kerana saingan terpaksa dibatalkan berikutan pandemik COVID-19 yang semakin serius ketika itu.

“Jadi peluang kedua ini saya tekad untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dengan aksi terbaik lebih-lebih lagi ia bakal menjadi penampilan sulung saya.

“Namun ia terpulang kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Tommy (Tomislav Steinbruckner) sama ada bakal menyenaraikan saya pada aksi pertama menentang kelab dari Australia, Central Coast Mariners pada 20 September ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak,” katanya.

Mengulas lanjut, pemain yang sudah meledak empat gol dalam saingan Liga Super dan satu gol dalam Piala FA itu juga mahu menjadikan aksi Piala AFC itu nanti sebagai medan terbaik buatnya untuk menarik perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.

sumber:- BH

Pada peringkat kumpulan saingan Piala AFC itu, TFC diundi dalam Kumpulan G bersama tiga pasukan iaitu Bali United (Indonesia), Central Coast Mariners (Australia) dan kelab Filipina, Stallions Laguna FC.