sukan

Saya lebih bertenaga selepas Allah beri cuti – Faisal Halim

Pemain Harimau Malaya, Faisal Halim melangkah ke kem kebangsaan dengan tonik terbaik apabila meledak dua gol ketika membantu Selangor FC (SFC) membelasah Kelantan FC 11-2, minggu lalu.

Penggantungan selama sebulan yang dikenakan ke atas pemain yang mesra disapa ‘Mickey’ itu membuktikan dia tidak ‘berkarat’ dan semangat berkobar-kobar itu dibawa bagi aksi persahabatan menentang Syria dan China di Chengdu, minggu depan.

Jelasnya, tempoh beraksi selama 45 minit sebelum menyertai kem latihan pusat kebangsaan sama sekali tidak memberi kesan kepadanya kerana lebih penting untuk memberikan yang terbaik setiap kali turun ke padang.

“Saya hanya beraksi selama 45 minit dan pemain lain sudah beraksi sehingga lima perlawanan.”Jadi saya mengharapkan situasi ini tidak mendatangkan masalah kerana sebagai pemain profesional, ini adalah tanggungjawab saya dan apa sahaja yang berlaku di belakang tabir, saya perlu teruskan demi skuad kebangsaan.

“Saya sudah bermain tanpa henti sejak Disember tahun lalu dan tidak berehat. Jadi Allah memberi cuti untuk saya berehat dan mengembalikan moral saya.

“Saya pun kembali dengan bertenaga dan kalau tiada apa-apa halangan, saya akan berikan yang terbaik demi skuad kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pestabola Merdeka di Wangsa Maju, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Faisal turut melihat saingan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung bulan depan sebagai antara persiapan terbaik bagi menghadapi Piala Asia 2023, awal tahun depan.

“Ini satu kejohanan yang baik kerana ia sudah lama tidak dilangsungkan dan pertandingan ini amat baik untuk persiapan kita ke Piala Asia 2023.

sumber:- BH

“Saya harap barisan pemain dapat memberikan yang terbaik. Sebagai pemain generasi baharu, kita harap dapat memberi sesuatu yang baru kepada penyokong,” katanya.