sukan

Luqman Hakim dan Nooa Laine dapat slot automatik

Dua pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine nampaknya mendapat slot automatik dalam skuad Harimau Muda bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand, minggu depan.

Ini kerana tempat dua pemain yang masing-masing beraksi bersama Njardvik FC dan SJK Seinajoki FC itu boleh dikatakan terjamin selepas pengendalinya, E Elavarasan memaklumkan mereka akan terus melapor diri bersama pasukan di Chonburi pada 4 September nanti.

“Seramai 22 pemain melaporkan diri pada hari pertama dan esok (hari ini) ada seorang lagi pemain. Dua lagi iaitu Luqman dan Nooa akan melaporkan diri di Chonburi pada 4 September nanti.

“Tetapi kita akan menggugurkan dua pemain pada 3 September kerana kita hanya boleh mendaftarkan 23 pemain,” kata Elavarasan pada sesi latihan pertama skuad B-23, semalam.

Dalam perkembangan lain, Elavarasan menegaskan tiada istilah lawan mudah buat anak buahnya pada pusingan kelayakan kali ini di mana mereka sama sekali tidak boleh memandang ringan kemampuan semua pasukan yang bersaing.

“Dalam mana-mana pusingan kelayakan, kita perlu anggap semua pasukan kuat. Tiada pasukan ini kuat, pasukan ini tidak kuat kerana dalam bola sepak, apa sahaja boleh berubah.

“Kalau dilihat untuk skuad kali ini, kita ada skuad yang mantap. Tetapi kita perlu ingat, pasukan lain juga mantap apatah lagi pasukan lain seperti Korea Selatan dan Jepun yang jauh berkualiti tinggi.

“Dengan kehadiran Luqman dan Nooa serta pemain yang berpengalaman dalam Liga Super, mungkin ini dapat membantu menambah prestasi pasukan kita,” kata.

sumber:- BH

Sebagai rekod, Malaysia akan membuka kempen kelayakan berdepan Bangladesh pada 6 September, Filipina ada 9 September dan tuan rumah, Thailand pada 12 September dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.