Pemain naturalisasi negara Sergio Aguero mahu membuktikan pemilihannya pada perlawanan persahabatan kali ini adalah berbaloi dan boleh memberi impak kepada skuad kebangsaan.
Aguero yang juga tonggak Sri Pahang tidak bersama pasukan pada panggilan kebangsaan, Jun lalu susulan kecederaan dan kini dia bertekad memberikan aksi yang terbaik bagi memastikan namanya terus ‘lekat’ dalam skuad Harimau Malaya.
Malah, dia cukup bersemangat mempamerkan aksi terbaik apabila pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon terus menaruh kepercayaan kepadanya untuk turun beraksi bersama pasukan kebangsaan menentang China dan Syria kelak.
“Saya terlepas aksi sebelum ini kerana kecederaan dan saya bersyukur kerana saya kembali berlatih bersama pasukan untuk kali ini.
“Saya mahu membuktikan kepada barisan kejurulatihan bahawa saya sudah bersedia sepenuhnya untuk berjuang bersama pasukan,” katanya.
Mengulas lanjut aksi berdepan Syria dan China, pemain kelahiran Argentina itu menegaskan barisan pemain yang dipanggil ini dilihat mampu memberi saingan meskipun menentang lawan yang berada di kedudukan lebih baik berbanding Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
“Sudah tentu ini adalah dua perlawanan yang sukar kerana mereka adalah pasukan yang baik. Tetapi kita ada pemain yang bagus dan kami sedia menentang pasukan yang besar.
“Saya fikir kita menunjukkan banyak peningkatan setiap tahun. Kita perlu terus menunjukkan peningkatan dan mengikut perancangan yang sudah disusun barisan kejurulatihan,” katanya.
sumber:- HM
Selain Aguero, dua lagi pemain naturalisasi yang dipanggil pada kem kali ini adalah tonggak kelahiran Brazil, Endrick Dos Santos daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Paulo Josue (KL City FC).