sukan

Cabaran untuk skuad Negara

Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara perlu bangkit mencipta kejutan pada aksi Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand, minggu depan.

Cabaran itu dilontarkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Haji Mohd Amin ketika hadir bertemu barisan pemain serta pegawai skuad Harimau Muda, hari ini.

Katanya, barisan pemain dilihat menunjukkan peningkatan dan jika terus fokus, tidak mustahil untuk Malaysia mampu menjadi pasukan yang baik di rantau ini.

Selain itu, Hamidin turut mengingatkan barisan pemain untuk tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan dan terus bekerja keras dalam setiap perlawanan.

“Sebagai pemain kebangsaan, anda perlu memberikan lebih daripada 100 peratus. Apabila beraksi demi negara, anda semua harus berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Peluang untuk mewakili Malaysia tidak harus disia-siakan dan saya berharap anda semua mampu melakar sejarah di Chonburi, Thailand,” kata Hamidin.

Terdahulu, seramai 25 pemain dipanggil oleh pengendali, E Elavarasan bagi kem latihan pusat yang bermula hari ini sebagai persiapan menghadapi cabaran Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand.

Malaysia diundi dalam Kumpulan H dan akan berdepan Bangladesh pada 6 September, Filipina (9 September) dan tuan rumah, Thailand (12 September) dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.

sumber:- BH

Sebanyak 11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi pada Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Doha tahun depan.