Kunlavut Vitidsarn melakar sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Thailand memenangi pingat emas perseorangan lelaki badminton Kejohanan Dunia, di sini malam tadi.
Pemain berusia 22 tahun itu bangkit daripada tewas set pertama 19-21 untuk menjinakkan pemain seusia dari Jepun, Kodai Naraoka 21-18, 21-7 dalam aksi maraton selama sejam 49 minit.
Kejayaan Kunlavut yang juga bekas juara remaja dunia tiga kali berturut-turut pada 2017, 2018 dan 2019 itu sekali gus menebus kekecewaannya tewas kepada Viktor Axelsen pada aksi final di Tokyo tahun lalu.
“Saya sangat gembira, ini adalah impian saya sejak kecil,” kata Kunlavurt.
“Ketika saya kecil, saya berjanji kepada jurulatih saya untuk memenangi emas. Dia sudah meninggal dunia dan emas ini saya dedikasikan untuknya.
“Saya menetapkan tiga sasaran ketika saya remaja, Kejohanan Dunia, Olimpik dan Seluruh England. Saya sudah memenangi satu daripadanya dan tinggal lagi dua,” katanya.
Sementara itu, pemain nombor satu dunia, An Se Young menjadi wanita pertama dari Korea Selatan memenangi emas perseorangan selepas menewaskan bekas juara, Carolina Marin 21-12 21-10 dalam perlawanan akhir.
Se Young, pilihan utama berusia 21 tahun, melengkapkan kejohanan yang sempurna dengan menewaskan dua pemenang emas Olimpik dalam perjalanan untuk bergelar juara
Dia menumbangkan pemenang pingat emas Tokyo, Chen Yu Fei dalam perlawanan separuh akhir.
“Saya sangat gembira memenangi perlawanan hari ini. Saya seronok beraksi,” kata Se Young selepas menerima pingat emasnya.
sumber:- BH
Se Young ialah finalis wanita pertama Korea Selatan dalam tempoh 30 tahun selepas kali terakhir Bang Soo Hyun melakukannya ketika kalah dalam perlawanan akhir 1993 kepada Susi Susanti dari Indonesia.. – AGENSI