sukan

Sila angkat kaki dan balik ke ‘tempat asal’ kamu — Piya

Jika tidak mampu bawa Kelantan FC ke tahap terbaik sila angkat kaki dan balik ke ‘tempat asal’ kamu.

Itu permintaan bekas pemain Kelantan FC, Mohd Badhri Radzi terhadap pengurusan skuad The Red Warrior (TRW) supaya tidak berterusan membiarkan imej pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu terus tercalar menerusi jaringan gol besar.

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, kekalahan TRW dengan jumlah jaringan besar sudah pastinya memberi gambaran bahawa pasukan terbabit sebenarnya mempunyai masalah dalaman kronik.

“Saya faham kalah dan menang adalah adat perlawanan namun sepanjang beraksi bersama Kelantan FC tidak pernah pasukan mengalami kekalahan yang sangat memalukan apabila tewas 2-11 kepada lawan.

“Kalau tak mampu bawa Kelantan FC tolonglah angkat kaki dan balik. Pada saya, kekalahan memalukan ini sebenarnya memberi gambaran bahawa sudah pastinya ada masalah dalam membelenggu pasukan.

“Kita pun tahu semua pihak terutamanya penyokong Kelantan FC mahukan kemenangan namun jika kalah pun janganlah sampai mengaibkan pasukan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Kelantan FC mencipta ‘sensasi’ dalam kancah Liga Super apabila tewas 2-11 di gelanggang sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV.

Walaupun tuan rumah mendahului perlawanan dengan jaringan dua gol menerusi sepakan penalti Natanael Siringo Ringo dan Mohamad Fazrul Amir Md Zaman namun situasi terbabit sebenarnya membangkitkan kemarahan sang Gergasi Merah.

Hal ini kerana, Selangor FC tiada belas ihsan dalam menghasilkan gol sebelum mengesahkan kemenangan menerusi jaringan 11-2.

Secara keseluruhan, Kelantan FC sudah bolos 106 gol membabitkan semua pertandingan musim ini termasuk dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Rekod pasukan paling banyak dibolosi dalam Liga Super sebelum ini dipegang oleh pasukan PDRM pada tahun 2009 iaitu sebanyak 75 bolos dan ketika itu juga saingan Liga Super membabitkan 14 pasukan.

sumber:- HM

Rekod kemenangan terbesar adalah ketika Selangor mengalahkan Terengganu 18-0 pada 1963 ketika kejohanan itu dikenali sebagai Piala HMS Malaya.